Syaaban 1430 telah pun menjelma.
Kehadiran bulan Syaaban ini menunjukkan bahawa umat Islam kian hampir dengan Ramadhan al-Mubarak.
Sebagai seorang Muslim, bln Syaaban ini sepatutnya dipenuhi dengan amalan persediaan menghadapi Ramadhan yang bakal menyusul.
Nabi SAW sendiri memperbanyakkan amalan di bln Syaaban. Antara hadis yang menerangkan perbuatan baginda ialah:
Daripada Saidatina Aisyah r.a:
”Rasululah SAW berpuasa hingga kami menyangkakan Baginda tidak akan berbuka dan Baginda berbuka hingga kami menyangkakan Baginda tidak akan berpuasa. Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Syaaban”.
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Selain itu, bulan Syaaban juga terkandung pahala yang berlipat kali ganda seperti dalam hadis yang bermaksud:
“Daripada Usamah bin Zaid, katanya:
“Aku bertanya Rasulullah SAW:
Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan berbanding bulan lain seperti engkau berpuasa daripada sebahagian Syaaban. Baginda SAW berkata: Itulah bulan yang manusia melupakannya antara bulan Rejab dan bulan Ramadhan, iaitu bulan yang diangkat amalan kepada Allah, Tuhan Semesta Alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa”.
(Hadis Riwayat al-Nasai dan Abu Daud)
Di dalam bulan Syaaban ini juga, terkandung padanya suatu malam yang dikenali sebagai Malam Nisfu Syaaban. Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dalam kitab Sahihnya Sunan Ibnu Majah jelas menerangkan kepada kita kelebihan Nisfu Syaaban sebagaimana maksud hadis berikut:
“Rasulullah SAW bersabda:
ALLAH SWT melihat kepada hamba-NYA pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampuni dosa-dosa hamba-NYA melainkan mereka yang melakukan kesalahan syirik dan orang yang menyebarkan fitnah.”
Malam Nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Syaban bermula pada 14 Syaaban sebaik sahaja masuk waktu Maghrib)
Antara amalan-amalan yang biasa dilakukan para ulama’ dan orang2 Soleh di malam nisfu Syaaban adalah dengan membaca Surah Yaasin tiga kali selepas sembahyang fardhu Maghrib. Dan setiap kali lepas membaca Yaasin akan dibaca doa.
1. Pada bacaan Yaasin pertama diniatkan dengan memohon panjang umur,
2. Pada bacaan kali kedua diniatkan dengan memohon agar dijauhkan dari bala
3. Pada bacaan ketiga diniatkan memohon murah rezeki yang halal.
Ertinya:
Ya Allah Ya Tuhan yang empunya kurniaan, dan tiada siapa mengurniakan kepada-Nya, ya Tuhan yang empunya kemuliaan dan kebesaran, ya Tuhan yang empunya kurniaan, tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya dalam wujud ini melainkan Tuhan hamba sahaja, tempat sandaran hamba-hamba Tuhan yang memohon perlindungan, dan tempat perlindungan hamba-hamba Tuhan, yang mohon keselamatan, dan tempat keselamatan hamba-hamba Tuhan yang di dalam ketakutan. Kiranya Tuhan hamba telah ada menulis akan hamba di sisi Tuhan hamba dalam Loh Mahfudz, akan seorang yang celaka, maka hamba mohon akan hapuskan daripada hamba nama kecelakaan itu, dan mohon tetapkan hamba di sisi Tuhan hamba akan seorang yang berbahagia. Dan kiranya Tuhan hamba telah ada menulis akan hamba di sisi Tuhan hamba dalam Loh Mahfudz akan seorang yang ditegah dari kebajikan, dan seorang yang disempitkan rezeki hamba, maka hamba mohon hapuskan tegahan itu daripada hamba, dan mudahkan rezeki hamba, dan hamba mohon tetapkan hamba di sisi Tuhan hamba, akan seorang yang berbahagia dan seorang yang ditaufikkan dengan kebajikan kerana bahawasanya Tuhan hamba telah berfirman dalam kitab yang telah Tuhan hamba turunkan (Al Quran) maksudnya : "Allah Taala menghapuskan apa yang Dia hendak hapuskan, dan Dia tetapkan apa yang Dia hendak tetapkan dalam suatu kitab dan di sisinya Loh Mahfudz."
Antara amalan yang digalakkan ketika didalm bulan Syaaban. Antaranya:
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :
"Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
"Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-NYA serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
"Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."
Bersama kita amalkannya selagi hayat kita masih dipinjamkan lagi.
No comments:
Post a Comment